SAPS Ibu Bapa Semakan Keputusan Peperiksaan Online

SAPS: Data pemarkahan pelajar di hujung jari

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) secara atas talian (online) diperkenalkan Kementerian Pendidikan bertujuan mewujudkan sistem pangkalan data berpusat, sekali gus menyelesaikan masalah kendalian data yang dihadapi sektor pendidikan sejak lama.

Pencapaian pelajar akan dianalisis dan dipaparkan bersama nilai gred purata, gred setiap subjek, kedudukan pencapaian dan sebagainya.

SAPS akan memaparkan slip keputusan peperiksaan pelajar, termasuk gred serta kedudukan di dalam kelas. Menerusi sistem data pemarkahan secara online ini, ibu bapa dapat menyemak keputusan peperiksaan anak-anak Darjah 1 hingga Darjah 6 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 bagi sekolah menengah.

SAPS juga memudahkan keputusan peperiksaan dan ujian dipantau oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah serta ibubapa. Sistem ini banyak membantu menambah baik sektor pendidikan di negara ini.

Walaupun pada peringkat awal diperkenalkan, sistem ini agak kurang stabil dan tidak begitu popular serta jarang digunakan, kini ibu bapa dapat menyemak keputusan peperiksaan anak-anak secara online setelah sistem itu diperbaharui dan dibaiki. Selain markah setiap matapelajaran, SAPS turut memaparkan kedudukan pelajar di dalam kelas atau tingkatan bagi setiap ujian atau peperiksaan yang diduduki.

Sebelum ibu bapa dan pelajar dapat melihat data pemarkahan, guru perlu memasukkan markah murid selepas setiap ujian atau peperiksaan, termasuk peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan akhir tahun dan ujian percubaan, termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau  Petaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengikut amalan lazim, guru akan memberitahu murid yang kemudian akan menyampaikan kepada ibu bapa masing-masing mengenai tarikh sesuatu keputusan peperiksana dapat mula disemak di dalam SAPS.

Manfaat SAPS kepada ibu bapa

Banyak sangat manfaat SAPS bukan sahaja untuk guru dan murid, malah ibu bapa. Menerusi sistem ini, ibu bapa atau penjaga dan guru dapat melihat prestasi murid sepanjang tahun secara lebih jelas serta sistematik.

Ternyata teknologi di hujung jari telah berjaya membantu dalam soal pemantauan dan penambahbaikan prestasi pelajar. Ibu bapa dapat menyemak keputusan atas talian, kemudian mungkin mengusulkan sesuatu yang lebih baik kepada guru bagi meningkatkan prestasi akademik anak mereka.

Hanya dengan mengisi nombor kad pengenalan anak, ibu bapa dapat melihat keputusan peperiksaan anak mereka secara atas talian. Semudah ABC!

Berikut ialah antara kelebihan dan manfaat SAPS:

Pemantauan prestasi

Dengan ada SAPS, ibu bapa berpeluang memantau secara mudah prestasi anak mereka dalam bidang akademik. Selama ini, ramai ibu bapa tidak tahu atau kurang ambil tahu mengenai prestasi akademik anak mereka. Malah, sebahagian ibu bapa kurang berkomunikasi dengan guru dalam soal pemantauan akademik anak-anak.

Kelemahan ini kini berjaya diatasi dengan ada SAPS. Pengesanan  awal mengenai sebarang masalah akademik di kalangan pelajar dapat dibuat secara lebih mudah membabitkan komunikasi dua pihak – ibu bapa dan guru – bagi mencari jalan atau solusi membaiki atau menambah baik prestasi akademik pelajar.

Pembabitan ibu bapa dalam perkembangan akademik ana-anak

Dengan bantuan SAPS, ibu bapa dapat mengesan kemerosotan pencapaian akademik anak mereka, jika berlaku. Justeru, ibu bapa boleh berhubung dan berkomunikasi dengan guru matapelajaran tertentu untuk berbincang dan mengenal pasti punca kemerosotan sesuatu keputusan peperiksaan.

Ini sekali gus memungkinkan penemuan beberapa solusi baru bagi membaiki atau menambah baik prestasi akademik anak-anak mereka.

Kawalan terhadap keputusan akademik

Dengan ada sistem SAPS juga, ibu bapa lebih mudah untuk mengawal pencapaian akademik anak mereka. Dari satu segi, kewujudan sistem ini mungkin menimbulkan rasa takut di kalangan anak-anak jika keputusan akademik mereka tidak mencapai sasaran atau kehendak ibu bapa.

Malah, dalam sistem lama, ada murid menyorokkan kertas ujian atau maklumat pemarkahan daripada pengetahuan ibubapa jika keputusan akademik mereka kurang memuaskan. Bagaimanapun, dengan ada SAPS, ibu bapa dapat memantau dan mengawal setiap keputusan peperiksaan, sekali gus merancang dan mengambil langkah susulan bagi membaiki prestasi akademik anak-anak.

Kerjasama ibu bapa dan guru

Menerusi SAPS, ibu bapa dapat berkomunikasi secara langsung dengan guru. Ibu bapa dapat memberitahu guru mata pelajaran tertentu jika wujud maklumat salah dari segi pemarkahan atau jika wujud masalah lain. Ibu bapa dapat berbuat demikian dengan memberikan komen pada sistem berkenaan dan guru, jika perlu, boleh membetulkan apa juga maklumat berkaitan atau mengambil apa juga tindakan bersesuaian.

Sebenarnya komunikasi di antara ibu bapa dan guru sangat penting dalam menghasilkan tahap pencapaian akademik lebih baik di kalangan pelajar. Ini juga bertepatan dengan semangat muafakat pendidikan.

Dengan adanya SAPS, ibu bapa dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan anak mereka mencakupi bidang atau subjek akademik tertentu. Menerusi sistem ini, ibu bapa akan dapat tahu jika pencapaian anak mereka lebih bagus dalam sesetengah subjek atau mereka lebih lemah dalam matapelajaran lain.

Ini membantu ibu bapa memahami minat, keupayaan dan kecenderungan di kalangan anak-anak, sekali gus memberi galakan dan dorongan mengikuti minat, keupayaan dan kecenderungan anak-anak mereka.

Melahirkan pelajar yang komited

SAPS juga membolehkan anak-anak memberikan komtmen dan belajar secara lebih bersungguh-sungguh. Ini terhasil kerana anak-anak tahu ibubapa mereka dapat mengetahui dan memantau tahap pendapaian akademik menerusi SAPS.

Kenalpasti kekuatan dan kelemahan anak

Biasanya ibu bapa sangat berhajat untuk melihat anak-anak mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Dari satu segi, ini mungkin boleh memberi tekanan dan mewujudkan stres di kalangan anak-anak.

Kadang-kdang wujud konflik di antara cita-cita dan kemahuan ibu bapa berbanding minat, keupayaan dan kecenderungan di kalangan anak-anak. Contohnya, anak-anak mungkin lebih cenderung kepada aspek teknikal sedangkan pada masa sama ibubapa mahu anak mereka menjadi doktor. Konflik seperti ini boleh menjejaskan tahap pencapaian akademik selain memberi tekanan kepada anak-anak.

Dengan adanya SAPS, anak-anak akan berusaha untuk memastikan mereka tidak mengecewakan ibu bapa. Bagaimanapun, ibu bapa perlu bijak agar mereka tidak terlalu memberi tekanan sehingga boleh menyebabkan stres di kalangan anak-anak, malah ibu bapa patut memberi motivasi untuk anak-anak belajar lebih rajin tanpa rasa tertekan. Ini akan menghasilkan pencapaian akademik yang lebih baik dan pada masa sama tahap sifar stres.

Panduan penggunaan SAPS

Tidak terlalu sukar menggunakan SAPS walaupun pengguna mungkin sedikit kekok atau teragak-agak pada peringkat permulaannya. Ia sebenarnya satu sistem yang mudah. SAPS dapat diakses di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja sama ada menggunakan komputer peribadi, laptop atau telefon pintar.

Hanya menerusi lima langkah mudah, keputusan peperiksaan anak-anak dapat akan dipaparkan di skrin, iaitu:

  1. Lawati sapsnkra.gov.my
  2. Masukkan no kad pengenalan murid
  3. Pilih negeri dan nama sekolah, klik “Semak”
  4. Kemudian pilih tahun
  5. Klik pada “Papar Slip Keputusan” atau “Papar Markah Peperiksaan”

Untuk mencetak, sila klik pada butang “Cetak”.

Semakan yang boleh dibuat menerusi SAPS ialah membabitkan keputusan peperiksaan sekolah rendah Darjah 1 hingga Darjah 6 manakala keputusan peperiksaan sekolah menengah bermula Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Gred permarkahan sekolah

Sementara itu, guru pula tertakluk kepada peraturan tertentu ketika memasukkan gred permarkahan pada SAPS. Mulai 2016, Kementerian Pendidikan menetapkan beberapa julat dan gred markah yang perlu dipatuhi guru.

Julat dan gred pemarkahan berkenaan berbeza mengikut peperiksaan dan tahap pelajar. Ia ditetapkan mengikut tahap pencapaian “Cemerlang”, “Baik”, “Memuaskan”, “Mencapai Tahap Minimum”, “Belum Mencapai Tahap Minimum” dan “Tidak Hadir” bagi sekolah rendah dan menengah.

Gred pemarkahan bagi sekolah menengah tinggi pula ditetapkan mengikut tahap “Cemerlang Tertinggi”, “Cemerlang Tinggi”, “Cemerlang”, “Kepujian Tertinggi”, “Kepujian Tinggi”, “Kepujian Atas”, “Kepujian”, “Lulus Atas”, “Lulus”, “Gagal” dan “Tidak Hadir”.

Kementerian Pendidikan ada menyediakan semua senarai berkaitan, termasuk meliputi:

◾ Julat Gred Sekolah Rendah (SR)

◾ Julat Gred Menengah Rendah (MR)

◾ Julat Gred Menengah Atas (MA)

Jadual kemaskini data peperiksaan

Markah keputusan biasanya dimasukkan atau dikemas kini ke dalam SAPS setelah sesuatu peperiksaan berakhir. Ibu bapa sepatutnya tahu atau dimaklumkan mengenai jadual atau takwim kemasukan markah oleh guru bagi membolehkan mereka membuat semakan keputusan peperiksaan anak secara online pada masa yang ditetapkan.

Penetapan tarikh kemasukan markah peperiksaan SAPS sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara bertujuan memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan peperiksaan anak mereka. Semua tarikh berkenaan juga biasanya boleh disemak di laman web kementerian berkenaan.

Perlu diingat, semua semakan keputusan peperiksaan terkini hanya dapat dibuat selepas kerja mengisi markah, selesai.

Masalah login SAPS

Tidak semua perkara sempurna. Sistem SAPS juga tidak terkecuali daripada sedikit sebanyak cacat-cela dan kelemahan tertentu. Bagaimanapun, kelemahan itu sentiasa diatasi dan diperkaiki.

Antara kelemahan yang sering dihadapi, terutama di kalangan guru sebelum mereka dapat masuk ke sistem dan mengisi semua data pemarkahan pelajar ialah masalah untuk log masuk (login) ke sistem berkenaan.

Ini dipercayai antaranya ada kaitan dengan sistem atau saiz pelayan (server) yang kecil serta berat menyebabkannya tidak mampu menampung input berskala besar pada masa-masa tertentu seperti waktu puncak, iaitu ketika sebahagian besar guru secara serentak mengisi markah peperiksaan sebelum bermula cuti sekolah.

Masalah ini juga ada kaitan dengan talian internet yang lemah, terutama di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ia ada kaitan dengan tahap kelajuan dan sistem komputer yang digunakan guru sendiri. Ia mungkin komputer jenis lama atau unit komputer berkenaan tidak diselenggara sewajarnya menyebabkan pacuan Internet menjadi sangat perlahan.

Semua itu boleh menjadi satu daripada atau sebahagian daripada punca masalah untuk log masuk ke SAPS atau jika berjaya log masuk, sistem dirasakan perlahan dan menyukarkan kerja mengisi data pemarkahan.

Ada juga aduan di kalangan ibubapa mengenai kesukaran memasuki SAPS. Antara yang boleh dicuba ialah dengan cara “clear browsing cache” pada pelayar Internet.

Analisis keputusan ujian dan peperiksaan

Ternyata SAPS memberi banyak manfaat dalam usaha semua pihak meningkatkan pencapaian pelajar. Pada masa sama, sistem ini mampu mengatasi masalah agihan data pendidikan yang menggunakan sistem lama secara manual.

SAPS juga berjaya memudahkan kerja analisis keputusan ujian dan peperiksaan, sekali gus membekalkan maklumat dan membolehkan usaha merancang serta mencari solusi bagi meninggikan lagi tahap pencapaian akademik pelajar.

2 thoughts on “SAPS Ibu Bapa Semakan Keputusan Peperiksaan Online”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *